Semalam 21 Mei 2011, kali pertama aku mengikuti kursus ESQ. Itu pun sebab ESQ:Parenting. Kerana memikirkan perlunya seorang bakal ibu mengisi diri dengan ilmu keibubapaan dan selepas menimbangkan beberapa perkara dan kerana takut menyesal di kemudian hari salah mendidik anak, ku hadiri juga kursus ESQ:Parenting tu walaupun kena berbelanja RM700. Insya Allah, nilai RM700 ini mungkin terlalu kecil dibandingkan dengan ilmu yang akan aku dapat nanti, bisikku.
Aku kagum dengan cara persembahan mereka menyampaikan kursus ini. Dengan bantuan kecanggihan teknologi audio visual, simulasi, lakonan semula dan gaya penyampaian yang dihayati sepenuh jiwa, berjaya membuatkan para peserta menjiwai mesej yang ingin disampaikan penceramah. Walau pun ada beberapa isi kandungan ceramah pernah didengar sebelum ini tetapi dengan pendekatan yang digunakan, nyata memberi impak yang berbeza.
Kursus ESQ:Parenting ini adalah angkatan pertama di Sarawak, yang bermaksud ini adalah kali pertama ESQ:Parenting diadakan di Sarawak. Sambutan peserta agak ramai iaitu lebih kurang 90 orang. Sebahagian dihantar oleh majikan dan sebahagian lagi persendirian. Hari itu, penceramah ialah Andi Muhd. Fajar, yang merupakan antara pelapis terbaik Ady Ginajar. Beliau pernah menuntut di Mesir dan menyambung Master di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).
Tambah menariknya kursus ini, ia diselang-selikan dengan pelbagai permainan (games) yang menghiburkan dan mempunyai mesej tersirat dan bermakna.
Ku catatkan antara isi kandungan yang disampaikan, untuk rujukan aku kelak dan untuk dikongsi bersama pembaca lain:
1. Peri pentingnya SQ (spiritual quotient),EQ(emotional quotient) dan IQ(Intelectual quotient) diintegrasikan dalam membentuk keperibadian anak-anak. SQ adalah membentuk ketauhidan kepada Allah yang merupakan unsur terpenting kerana ia umpama piling atau dasar. Ia adalah suatu yang fitrah bagi seorang khalifah di mana Allah telah menyatakan di dalam surah Az-Zariyat ayat 56 bermaksud “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” EQ pula diaplikasikan sebagai 5 langkah spiritual parenting yang berdasarkan kepada rukun Islam yang 5 iaitu:
a. Mission statement – apakah misi ibu bapa di dalam membentuk anak-anak(Mengucap dua kalimah syahadah)
b. Character building – sahsiah anak-anak (Sembahyang 5 waktu)
c. Self-controlling – mempunyai daya ketahanan dalam menghadapi ujian kehidupan(Berpuasa pada bulan Ramadhan)
d. Strategic Collaboration – (Mengeluarkan zakat)
e. Total action – Pengabdian (Mengerjakan haji ke Mekah bagi yang mampu)
2. SQ dibentuk dengan pemupukan sejak dari kandungan ibu lagi. Beberapa contoh ditunjukkan bagaimana ibu yang banyak membaca Al-Quran berjaya melahirkan anak-anak yang cintakan Al-Quran sehingga ada yang sejak umur setahun setengah sudah berjaya menghafal beberapa surah pendek. Subhanallah. EQ juga dibentuk sejak kehamilan dimana emosi harus dijaga oleh si suami lebih-lebih lagi para ibu. Ini kerana emosi ibu turut mempengaruhi emosi anak yang bakal dilahirkan. Satu kisah benar ditunjukkan iaitu kisah Sufiah yang mana sejak kecil telah diasuh mengutamakan IQ sehingga menjadi seorang pelajar genius Matematik. Akhirnya telah menjadi seorang pelacur kerana mengatakan hidupnya selama ini bagai hidup di neraka. Au’zubillah…
3. Kajian sains juga dipaparkan di mana bukti saintifik perkembangan neuron sel-sel otak berkembang ditunjukkan. Kajian sains ini juga membuktikan kaitan antara EQ dan IQ. Kajian ini dibuat oleh seorang pakar neurologi yang memasang alatan yang terdiri dari banyak kabel pada kepala bayinya semasa menyusukan bayinya untuk melihat perkembangan sel-sel otak bayinya. Didapati banyak sel-sel otak yang baru terhasil iaitu warna merah yang ditunjukkan pada alat pengukur tersebut. Secara tiba-tiba, bayinya menarik salah satu kabel tersebut dan telah menyebabkan si ibu tadi marah. Di dapati warna merah pada mesin semakin berkurang dan akhirnya mati. Ini menunjukkan bagaimana kecerdasan emosi boleh mengembangkan potensi anak dan ia juga boleh mematikan potensi anak jika emosi ibu atau bapanya tidak dikawal. Memetik kata-kata R.Buckminster “All children are born geniuses and we spend the first six years of their lives degeniusing them”.
4. Kaitan antara EQ dan IQ ditunjukkan melalui kata-kata ini “Suara hati fitrah adalah permulaan kepada sains” di mana ditunjukkan contoh kerusi roda tercipta kerana hasil daripada kita berasa kasihan, empati, simpati kepada mereka yang kurang upaya. Kecerdasan emosi yang dimiliki diterjemah melalui kecerdasan intelektual maka lahirnya pelbagai teknologi yang membantu dan memudahkan kita dalam menjalani kehidupan masa kini
Penulis turut mencatat di dalam buku nota kecil tentang 5 tujuan kehidupan yang perlu ditanam dalam diri anak-anak:
1. Pengabdian kepada Allah
2. Memenuhi perjanjian roh
3. Menjadi khalifah
4. Siap menghadapi ujian kehidupan
5. Pertanggungjawaban kepada Allah
Mengimbau semula permainan(games) yang dimainkan sepanjang kursus ini:-
1. Simbol sahabat-permainan bagi sesi suai kenal dengan semua peserta yang hadir
2. Membina rumah-Iktibar:perlunya perancangan dalam kehidupan ini.
3. Menangis dan ketawa- Iktibar: untuk memahami jiwa kanak-kanak yang menangis apabila kita menengking atau memarahi tetapi ketawa apabila dibelai dan dimanja.
4. Layar kehidupan- Iktibar: salah memilih juri. Kita lebih memikirkan apa pandangan manusia daripada pandangan Allah seperti kehidupan mewah di mata manusia itu indah tetapi belum tentu kita insan.
5. Menyusun cawan plastic- Iktibar:bagaimana misi yang telah dikenalpasti membawa kejayaan, memupuk semangat kerjasama dan strategi dan kesediaan menghadapi pelbagai ujian mendatang.
Beberapa ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kandungan kursus ini:
1. Ayat 172 Surah Al-A’raf:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.”
2. Ayat 30 Surah Al-Baqarah:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
3. Ayat 35 Surah Al-Anbiya’:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
4. Ayat 36 Surah Al-Qiyamat:
“Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)?”
5. Ayat 12 Surah Luqman:
“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”
6. Ayat 13 Surah Luqman:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
Blog ini ditulis hanya dengan niat untuk memanjangkan ilmu. Semoga pembaca mendapat manfaat dari ilmu yang cuba dikongsikan. Wallahua’lam…